Peyunanian Tamadun keyunanian

Maklumat terperinci: Peyunanian

Konsep peyunanian, yakni penyebaran budaya Yunani, sudah lama dipertikaikan. Tidak syak lagi, pengaruh Yunani tersebar ke seluruh wilayah keyunanian, tetapi sejauh mana serta sama ada ini merupakan dasar yang disengajakan atau sekadar pergabungan budaya masih hebat diperbahaskan.

Alexander

Kemungkinan sekali bahawa Alexander sendiri memupuk dasar peyunanian secara paksaan. Biarpun kelihatan sebagai cubaan yang berniat untuk menyebarkan pengaruh Yunani, namun lebih besar kemungkinannya bahawa ini merupakan langkah-langkah pragmatik yang direka untuk membantu baginda memerintah empayarnya yang sungguh besar.[6] Dasar-dasar ini juga boleh difahami sebagai kesan daripada megalomania[7] yang dialami oleh Alexander pada akhir hayat baginda.

Rukun pertama dasar-dasar Alexander merupakan penubuhan kota-kota di merata empayar. Sejak dahulu lagi, ini telah ditafsirkan sebagai sebahagian daripada niat Alexander untuk meluaskan kebudayaan Yunani di seluruh empayarnya. Kota-kota ini dikatakan bertujuan untuk menjadi pusat pentadbiran setempat yang diduduki oleh orang Yunani; kebanyakannya diduduki oleh bekas askar perang Alexander. Tanpa disangkal lagi, ini sudah semestinya menyebabkan peluasan pengaruh Yunani di merata empayar. Namun begitu, tujuan utamanya mungkin juga untuk mengawal rakyat jelata barunya, dan tidak semestinya untuk meluaskan pengaruh Yunani. Arrian terang-terang berkata bahawa sebuah kota yang ditubuhkan di Baktria "bertujuan untuk memperadabkan penduduk setempat"; bagaimanapun, ulasan ini boleh ditafsirkan seperti yang mana 'memperadabkan' itu sebenarnya menguasai. Sudah tentu, kota-kota ini mungkin dijadikan tempat garison untuk menguasai kawasan-kawasan sekeliling.

Keduanya, Alexander cuba menyatukan golongan pemerintah Parsi dan Yunani melalui perkahwinan. Beliau melantik orang Yunani dan Parsi sekali ke dalam jawatan-jawatan pentadbiran tertinggi, namun baginda lebih bergantung pada orang Yunani apabila berdepan dengan situasi yang genting, serta turut melucutkan ramai satrap Parsi selepas pulang dari India. Baginda turut cuba mencampurkan kedua-dua kebudayaan dengan menerima guna unsur-unsur istana Parsi (seperti busana dan istiadat diraja) serta cuba mendesak supaya rakyat Yunani mengekalkan amalan proskinesis. Ini mungkin satu cubaan untuk menyamakan pandangan kedua-dua kaum ini terhadap Alexander sebagai 'Raja Agung', tetapi tidak disenangi oleh kaum Macedon kerana adat resam Yunani itu terhad kepada dewa-dewi sahaja. Dasar ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan memperluas kebudayaan Yunani, atau membentuk suatu budaya campuran. Namun demikian, adalah lebih baik jika ini dipandang sebagai cubaan semata-mata untuk mengawal sebuah empayar yang besar dan sukar terkawal;[6] Alexander mendahagakan kesetiaan golongan bangsawan Parsi yang sebanyak para pegawai Macedon. Oleh itu, kebudayaan istana campuran dihasilkan sebagai cubaan untuk mengelak daripada meminggirkan orang Parsi. Lebih-lebih lagi, perkahwinan Alexander dengan puteri Roxana dari Baktria yang membuahkan seorang cahaya mata boleh difahami sebagai cubaan untuk membentuk sebuah wangsa diraja yang diterima oleh orang Asia dan Yunani sekaligus.

Alexander turut menyatukan tenteranya dengan menaikkan askar-askar Parsi ke dalam pangkat Macedon. Ini pun juga boleh difahami sebagai penyelesaian yang pragmatik kepada masalah kekurangan tenaga manusia yang kronik. Kesan menjadi-jadinya megalomania Alexander kelihatan dalam rancangan baginda untuk menghomogenkan sepenuhnya para penduduk Eropah dan Asia secara pemindahan beramai-ramai.[7] Biarpun rancangan yang nyata tidak praktikal ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk menubuhkan kebudayaan campuran yang baru, namun kehebatan rancangan ini membayangkan niat yang lain.

Pendek kata, dasar-dasar Alexander nyata sekali menyebabkan meluasnya budaya Yunani, tetapi masih belum dipastikan sama ada ini merupakan matlamat utama dasar-dasar itu. Mungkin sekali dasar-dasar itu hanya melambangkan cubaan pragmatik oleh Alexander untuk mengawal wilayah-wilayah baru dengan mengakui dirinya sebagai pewaris kepada warisan Yunani dan Asia sekaligus dan bukannya orang luar.

Peyunanian di bawah Pewaris

Patung Ptolemy I

Setelah Alexander mangkat pada 323 SM, empayarnya berpecah kepada beberapa buah wilayah satrap di bawah pemerintahan para panglimanya. Kebanyakan pengubahan budaya oleh Alexander ditolak oleh para Diadochi, termasuk perkahwinan silang budaya.[6] Bagaimanapun, kedatangan kolonis Yunani secara beramai-ramai ke dalam wilayah baru ini tetap menyebarkan budaya Yunani ke dalam Asia. Penubuhan kota-kota baru kekal sebagai sebahagian utama dalam perjuangan para Pewaris untuk menguasai kawasan-kawasan tertentu, maka kota-kota ini kekal sebagai pusat penyebaran budaya. Peluasan budaya Yunani di bawah para Pewaris nampaknya berlaku serentak dengan peluasan pendudukan kaum Yunani dan bukannya suatu dasar yang aktif.

Biarpun keberatan pada mulanya, golongan Pewaris ini kelihatan telah menyerapkan diri mereka ke dalam jajahan masing-masing, kononnya untuk membantu mengawal ketenteraman rakyat.[8] Oleh itu, sebagai contoh, Raja-Raja Ptolemy, seawal-awal Ptolemy I Soter, raja keyunanian pertama Mesir, digambarkan sebagai fir'aun. Begitu juga, di kerajaan India-Yunani, terdapat raja-raja yang memeluk agama Buddha (cth. Menander). Dengan itu, kaum Yunani di kawasan-kawasan tersebut lama-kelamaan memeluk adat resam setempat dan menyertai kaum tempatan. Oleh yang demikian, lahirlah budaya-budaya campuran 'keyunanian' di kalangan masyarakat atasan.

Ringkasnya, penaklukan Alexander serta kerajaan-kerajaan Pewaris membolehkan peluasan jajahan dan pertembungan budaya Yunani, tetapi adalah tidak mungkin bahawa ini merupakan dasar paksaan. Lebih-lebih lagi, proses peyunanian begini diiringi oleh peluasan budaya Asia ke Eropah. Namun demikian, pergolakan yang berlaku pada ketika ini nampaknya turut menyebabkan berkembanganya kebudayaan campuran 'keyunanian'. Akhir sekali, harus diingatkan bahawa takat pengaruh kebudayaan Yunani di seluruh kawasan keyunanian selalu dibesar-besarkan disebabkan pengaruh besar terhadap keturunan-keturunan selanjutnya pada sebilangan kecil bandar yang kuat diyunanikan, terutamanya Iskandariah.